Monday, December 20, 2010

 SINAR HARIAN, 25 DISEMBER 2009
Pampasan insurans demi pendidikan, masa depan anak
ALOR SETAR- Wang pampasan yang diterima oleh balu kepada bekas guru, Fatimah Talib, 48, daripada Etiqa Takaful Berhad berjumlah RM28,608.27 akan digunakan sebaiknya untuk pembiayaan pelajaran anak-anak demi masa hadapan mereka. 
Fatimah yang menetap di Taman Shahab di sini, berkata, suaminya meninggal dunia dua bulan lalu akibat penyakit darah tinggi dan kencing manis. 

Menurutnya, pampasan yang diterima daripada takaful itu akan digunakan sebaik mungkin terutama bagi perbelanjaan pendidikan anak-anak seperti yang diamanatkan arwah sebelum pemergiannya.

“Arwah suami saya ada pesan, kalau terima wang pampasan ini, gunakannya untuk menanggung pelajaran anak-anak kerana ia penting demi menjamin masa depan mereka kelak.

“Jadi saya akan ingat pesanan terakhir arwah dan akan menggunakan wang ini untuk pendidikan anak-anak yang kebanyakannya kini masih belajar lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, arwah suaminya mula mencarum dengan takaful sejak Julai 2002 dan kini beliau sedar bahawa wang pampasan itu sangat berguna bagi membantunya menyara pelajaran anak-anak tambahan setelah kehilangan suami tercinta.

Menurutnya, kesedaran untuk mencarum itu sangat penting terutama pada saat genting seperti itu.

“Kesedaran memang ada cuma apabila diri sendiri ditimpa musibah, baru kita akan lebih prihatin dengan apa yang berlaku dan berasa ia amat penting bagi setiap orang untuk mencarum demi masa hadapan kerana kita tidak tahu jika sebarang perkara yang tidak diingini berlaku pada bila-bila masa sahaja.

“Selepas ini saya dan anak-anak akan membuat caruman kerana ia membawa kebaikan untuk masa depan semua kerana kita tidak dapat menduga perkara yang bakal berlaku.

“Ia sangat baik sebagai satu perlindungan supaya keluarga yang ditinggalkan tidak hidup dalam kesusahan apabila sesuatu berlaku atas ketua keluarga dan sebagainya,” katanya.

No comments:

Post a Comment